Sunday, December 21, 2008

Kenapa menggunakan nama pena Kristal Merah??

Sebenarnya, pemilihan nama pena itu tiada rahsia yang perlu diungkapkan....Tapi jika ada insan yang bertanya,
"Kenapa pilih nama tu?"
Ini jawapan saya, "Kristal itu indah kilauan atau sinarnya. Begitulah kehidupan kita. Indah dan penuh hikmah yang kadang-kadang sukar untuk kita terjemahkan melalui kata-kata. Tapi itu hanya akan berlaku jika kita menghargai apa makna kehidupan dan tujuan kita diciptakan. Merah pula merupakan salah satu warna kegemaran saya. Merah itu berani, gah dan penuh dengan semangat yang berkobar-kobar menuju matlamat yang ingin dicapai. Pendek cerita, merah itu jiwa saya. Merah itu jiwa perwira."

Friday, December 19, 2008

Selamat datang saya ucapkan kepada pengunjung blog ini! Anda tidak silap....Ini blog KRISTAL MERAH. Kalau benar-benar silap, logoutlah cepat-cepat....


Assalamualaikum...

Syukur ke hadrat Ilahi atas segala limpah dan rahmatnya kerana dapat saya meneruskan kelangsungan hidup dalam dunia yang indah dan penuh makna ini. Dengan rahmatnya juga, dapat saya menyiapkan novel “Barah Dendam”. Itulah karya pertama saya yang akan diterbitkan. “Barah Dendam” adalah percubaan pertama saya untuk bergiat dalam dunia penulisan novel dan bergelar sebagai novelis.

Pertama sekali saya ingin merakamkan setinggi kasih dan penghargaan buat ayahanda dan bonda tercinta atas sokongan dan restu kalian yang terus menyuntik semangat anakanda berkarya.

Tidak lupa juga kepada tok guru (Prof. Rahman Shaari dan En. Mohd Saleeh Rahamad) yang sedang berkhidmat di Jabatan Pengajian Media, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya. Tunjuk ajar kalian berdua amat bermanfaat.

Terima kasih tidak terhingga buat saudari Nur Shahira (Nuyang), atas sokongan yang tidak pernah luntur dan mengikuti setiap perkembangan proses karya saya. Doronganmu penuh erti.

Buat sahabat-sahabatku Geng 6 Jahanam (Hafis, Saiful, Afiq, Ameer dan Shafiq) serta ahli tak tetap (Abang Shah), terima kasih kerana mendampingiku. Gelak tawa, gaduh-gaduh dan marah-marah ketika bersama, sangat menghiburkan. Terima kasih kerana sokongan kalian. Semoga persahabatan kita berkekalan. Need you all! Kepada sahabatku Wijaya (Kamal), nantikan “Barah Dendam”. Aku tidak lupa juga sokonganmu!

Buat Norazizah (Fea Arisyah), teruskan berkarya...Jangan berputus asa. Sedikit langkah lagi, kau akan berjaya.

Terima kasih juga kepada saudara Faisal Tehrani dan Matt Romeo. Karya kalian penuh manfaat untuk diselongkar. Semoga dunia penulisan (novel) di negara kita mampu dimartabatkan.

Tidak lupa juga kepada pihak penerbit iaitu Pekan Ilmu Publication Sdn. Bhd. Terima kasih kerana sudi untuk menerbitkan novel “Barah Dendam”. Kepada editor Nurul, terima kasih atas informasi dan mengedit novel “Barah Dendam”.

Kepada mereka yang tidak disebut secara terperinci seperti (Apiz Rage) dan sesiapa yang berkenaan, harap maafkan saya....Kalian juga penting buat saya.

“Barah Dendam” mengisahkan kenakalan zaman sekolah yang dilalui oleh Zulkarnain dan Zailan. Akibat menjadi mangsa buli, mereka bangkit memberontak. “Barah Dendam” juga mengisahkan nilai persahabatan antara Zulkarnain dan Zailan. Konflik yang timbul pula, bagaimana?

Kalau nak tahu lebih lanjut, dapatkan novel “Barah Dendam” daripada Pekan Ilmu Publication Sdn. Bhd. Nantikan kemunculannya....Novel ini pasti akan menghantar anda semula ke zaman sekolah menengah yang penuh dengan keriangan dan keseronokan!

Sila kunjungi blog Pekan Ilmu Publication untuk membuat tempahan. (jika berminat)

Pesanan penulis: Yang baik jadikan teladan dan yang buruk jangan diikuti. Ingat, jangan
biar dendam bermukim di jiwa. Jika tidak, dendam pasti menjadi
barah....Barah akan melumpuhkan jiwa!